Enjoy!!
(p/s: al-fatihah to allahyarham Yasmin Ahmad. May her soul rest in peace)
~Cinta Sejati Tak Dimamah Usia~
Mak Inom dan Pak Atan tetap mesra dari dulu hingga
kini. Kemesraan Mak Inom dan Pak Atan kekal hingga ke hari
ini meskipun sudah berpuluh tahun berumah tangga.
Hujan membasahi bumi
Melahirkan keluhuran budi
Mengerat perpaduan suci
Kasih sayang abadi
BAIT lagu berirama keroncong ini masih terdengar-dengar
ketika meninggalkan pekarangan kediaman Inom Yon (Mak Inom),
74, dan suami tercinta, Ahmad Hashim, 75, atau lebih senang
dipanggil Pak Atan. Seketika, diri turut dibuai kelunakan
suara Mak Inom mendendangkan setiap bait sambil sesekali
menari di samping Pak Atan yang asyik mengalunkan irama
daripada keyboard. Suasana petang yang hangat bertukar
indah dan syahdu melihat keakraban kasih sayang antara
keduanya.
Sememangnya Pak Atan dan Mak Inom sentiasa dilamun cinta
biarpun usia masing-masing menginjak senja. Bergelar datuk
dan nenek kepada lima cucu, cinta antara keduanya tetap
mencambahkan bunga kasih yang terus berkembang segar hingga
kini.
Kemesraan pasangan ini bukan khayalan pengarah filem tersohor,
Yasmin Ahmad semata-mata seperti yang dipaparkan dalam filem
arahannya, Rabun. Inilah keindahan sebenar yang ingin dikongsi
anak sulung mereka itu bersama penonton. Walau ada yang
menjuihkan bibir, hakikat kehidupan mereka yang sentiasa mesra
bagaikan teruna dara baru berjumpa tidak dapat dinafikan.
Segala-galanya jelas terpapar pada wajah Mak Inom dan Pak Atan,
melalui gerak geri dan panggilan mesra – ‘sayang’ dan ‘darling’
yang sering meniti di bibir.
MESRA: Berpegangan tangan di hadapan kediaman mereka di Subang
Jaya.
“Beginilah kami selalunya. Lepas sama-sama memasak,uncle main
keyboard, auntie pula nyanyi. Ini bukan mengada-ngada.
Kemesraan ini lahir spontan daripada hati sejak awal
pernikahan lagi. Mungkin bagi kebanyakan orang, kemanisan
alam pengantin baru hanya sementara,tetapi kami tetap
meneruskannya sehingga kini seperti mandi berdua, berjalan
sambil berpegang tangan mahupun ketika tidur juga,” kata Mak
Inom.
Mengakui awalnya berkahwin bukan atas dasar cinta, Mak Inom
dan Pak Atan yang masing-masing baru putus tunang, akhirnya
bersetuju disatukan selepas berkenalan tiga bulan kerana
kasihankan nasib masing-masing.
Berpegang kepada kata-kata Hamka, cinta yang berputik daripada
belas kasihan lebih berkekalan daripada cinta biasa, Mak Inom
tidak ragu-ragu menerima lamaran Pak Atan. Tambahan pula
perwatakan Pak Atan yang sempurna pada matanya sudah cukup
membuatkan Mak Inom yang baru menamatkan pengajian selama dua
tahun di Kirby, Liverpool tertawan pada guru muzik itu.
“Bagi saya ketika itu cinta tidak bermakna. Uncle sering
merendahkan diri, lembut apabila berkata-kata, tidak banyak
cakap dan sering memberi nasihat untuk mententeramkan
perasaan saya. Dia juga pandai mengambil hati ayah yang juga
menyukainya. Itu yang penting, restu ibu bapa,” katanya.
Pak Atan pula cukup tertarik dengan layanan diberikan Mak
Inom. Setiap kali bertandang, dirinya dijamu dengan masakan
Mak Inom yang memang handal memasak. Bagi Pak Atan, itulah
kecantikan sebenar yang dicarinya selama ini.
“Kecantikan itu lahir dari hati yang suci. Kecantikan fizikal
yang sering diagungkan itu tidak kekal dan jika itulah cinta,
ia akan pudar bersamanya. Itulah sebabnya kemesraan hanya
dikecapi ketika baru berkahwin. Selepas dua atau tiga tahun,
lenyap. Suami jalan di depan, isteri di belakang. Apa salahnya
berjalan berpegang tangan seperti masa bercinta dulu?
“Saya tidak kisah apa orang nak kata mengenai kemesraan yang
kami tunjukkan. Ini isteri saya, suka hati sayalah nak pegang
tangan dia atau nak panggil apa. Jangan terkejut kami tetap
mandi berdua sehingga kini walaupun ketika berada di rumah
saudara mara. Mereka pun tahu dan
faham,” katanya.
Sedangkan lidah lagi tergigit, pasangan ini tidak menafikan
mahligai yang dibina sesekali tetap dilanda badai terutama di
awal perkahwinan. Bagaimanapun, sikap tolak ansur dan tidak
berdendam membuatkan rumah tangga dibina kekal bahagia.
“Kalau bertengkar, kami pergi ke tepi laut supaya anak-anak
di rumah tidak dengar. Kami luahkan apa yang tidak puas hati.
Bila reda, baru balik. Anak anak boleh tahu kami bergaduh
hanya kerana saya tidak peluk bahu isteri ketika menonton
televisyen. Mereka akan kata, mak tak kawan ayah ya?,” kata
Pak Atan.
Mak Inom yang kesal dengan peningkatan perceraian di kalangan
pasangan hari ini, berkata sikap bertolak ansur dan memahami
pasangan penting selepas berkahwin. Lumrah masa bercinta
memang semua indah, tetapi bila tinggal sebumbung, baru tahu
buruk baik masing-masing.
“Masa baru berkahwin memang susah sesuaikan diri. Auntie
selalu merajuk terutama masa mengandung anak sulung kerana
uncle sibuk bermain badminton setiap petang. Auntie luahkan
perasaan benci padanya, tetapi jawapannya, tidak ada perkataan
benci dalam kamus hidupnya, membuatkan auntie terdiam. Auntie
sedar, kita perlu berkorban sedikit dengan menerima seadanya
pasangan kita sama ada suka atau tidak kerana itulah dirinya,”
katanya.
Beliau berkata, isteri perlu bijak memenangi hati suami
terutama dari segi makan minumnya selain menghormatinya
sebagai ketua keluarga walaupun isteri berkenaan berpangkat
lebih tinggi daripada suami.
“Jika isteri tidak kisah, tidak mustahil apabila ada wanita
lain yang menunjukkan kasih sayang padanya, suami akan jatuh
cinta dengan wanita itu. Jangan bersikap mementingkan diri
termasuk dalam bab duit. Bila suami susah, kita bantu. Jangan
ada konsep duit dia, duit kita tapi duit kita, duit kita. Ini
tidak betul. Menjaga kebersihan diri juga penting. Janganlah
bau kencing ada dibiarkan sampai suami balik ke rumah,”
katanya.
Pak Atan turut bersetuju, seorang suami inginkan wanita yang
bijak menjaga kebajikan suami. Bagaimanapun, katanya suami
juga perlu mengikis ego untuk mengakui kesilapan yang
dilakukan pada isteri kerana isteri hanya ingin mendengar
suami mengatakan ‘maaf’. Itu sudah cukup melembutkan hatinya.
Dalam hubungan ini, katanya, suami harus banyak bersabar
berdepan kerenah isteri, begitu juga sebaliknya.
“Pandailah ambil hati isteri. Isteri mungkin penat selepas
seharian bekerja ditambah dengan kerja rumah. Apa salahnya
pada sebelah malam, sebelum tidur, suami urut badan atau kaki
isteri. Seorang suami yang mengurut isterinya, akan mengalir
dosa-dosa yang ada padanya melalui celah jarinya itu.
“Bantu isteri didapur juga boleh mengeratkan hubungan. Gurau
senda antara suami isteri menambah seri. Mungkin orang lain
tak buat macam uncle buat. Bila balik rumah, uncle panggil
auntie dengan panggilan uhu…uhu… , itu tanda uncle balik.
Bila dengar suara uncle itu, auntie pun sembunyi di dapur,
macam main sorok-sorok,” katanya.
Memang bertuah jika semua isteri seperti Mak Inom dan semua
suami seperti Pak Atan. Sayangnya kebanyakan orang terlalu
ego untuk menzahirkan kasih sayang terhadap pasangan khususnya
si suami. Entah mengapa, perasaan sayang dan mengambil berat
hanya terhad semasa bercinta. Kononnya bukan budaya kita
menunjuk-nunjuk depan orang. Apa salahnya budaya yang baik
jadi ikutan.
Lihat saja orang Barat, walaupun isterinya itu tidak secantik
mana atau gemuk gedempol sekalipun, masih tetap berjalan
berpegangan tangan atau memeluk pinggang isterinya. Inilah
yang dikatakan cinta sejati, tidak pernah berubah walaupun
dimamah usia.